PENGURUSAN Perak FC memberi bayangan untuk mendapatkan beberapa pemain baharu pada jendela perpindahan kedua musim ini bagi mengukuhkan kedudukan pasukan itu.
Pengerusi Perak FC, Datuk Seri Abdul Azim Mohd Zabidi berkata, pasukan itu sedang proses untuk stabil selepas proses pemulihan beberapa pemain yang cedera seperti Wan Zack Haikal dan Luciano Guaycochea mula membuahkan hasil.
Jelas beliau, kedua-dua pemain tersebut diakui tidak mendapat tempoh pemulihan yang sebaiknya setelah mengalami kecederaan serius malah terpaksa bermain walaupun berada dalam kesakitan dalam beberapa perlawanan Liga Perdana musim lalu.
“Kini kita sangat gembira melihat kualiti yang ditonjolkan mereka dan pastinya ia mempengaruhi keseluruhan corak permainan pasukan. Perak FC sedang dalam proses menstabilkan pasukan dan kita sudah menghampiri separuh musim Liga Malaysia.
“Kami berpuas hati dengan prestasi pasukan dan akan berusaha untuk membuat satu atau dua pertukaran pada jendela perpindahan akan datang dalam memastikan sasaran 25 mata agar kita boleh berada di pertengahan carta kedudukan Liga Super 2023,” katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.
Abdul Azim berkata, pihaknya amat gembira melihat pemain-pemain kembali cergas untuk bersaing merebut kesebelasan utama pasukan.
Katanya, kemenangan dengan Kelantan FC pada Jumaat lalu merupakan dedikasi pasukan untuk semua peminat setia khususnya yang mengharungi kesesakan lalu lintas untuk memberi sokongan di Kota Bharu, Kelantan.
Dalam perlawanan pada Jumaat lalu, Perak FC mencatat kemenangan kedua musim ini selepas menundukkan tuan rumah 3-2 di Stadium Sultan Muhammad ke-IV.
Perak FC ketika ini berada di tangga ke-11 liga dengan sembilan mata selepas mengharungi 10 perlawanan dengan dua kemenangan, lima kekalahan dan tiga seri.
Skuad The Bos Gaurus itu akan menanti kunjungan Gergasi Merah iaitu Selangor FC pada 20 Mei depan di Stadium Perak di sini dalam saingan Liga Super.