Yusri Che Lah Harap Perak Pertimbang Semula Cadangan

Selepas mengumumkan tidak lagi bersama ketua jurulatih, Datuk Lim Teong Kim, Perak FC kini memberi kepercayaan kepada jurulatih Perak FC II, Yusri Che Lah untuk mengambil alih posisi jurulatih skuad utama sebagai jurulatih sementara.

Yusri bukanlah nama yang asing untuk pasukan Perak kerana pengendali berusia 47 tahun itu pernah mengendalikan Perak musim 2022 sebelum pihak pengurusan membawa masuk Teong Kim pada September tahun lalu.

Dengan amanah yang diberikan pihak pengurusan, Yusri bercadang untuk membawa masuk pemain import baharu buat Perak. Ini kerana pemain sedia ada dilihat tidak mampu membawa pasukan mencapai sasaran sekurang-kurangnya berada di pertengahan liga.

“Untuk jendela perpindahan, sekiranya saya masih lagi diamanahkan jawatan ini, sudah pasti pengambilan pemain import diperlukan. Secara jujurnya, kita perlu membuat sedikit rombakan kerana (dengan) pemain yang sedia ada, kita tidak mampu bersaing untuk menempatkan (Perak) di pertengahan liga,” jelas Yusri.

Yusri juga berharap pihak pengurusan dapat pertimbang semula cadangan tersebut untuk kebaikan pasukan Perak.

“Saya mengharapkan cadangan saya dinilai kembali (pihak pengurusan) dan dalam masa yang sama, rombakan akan berlaku untuk kebaikan pasukan kerana kelab akan terus kekal di sini, pemain dan jurulatih silih berganti,” luah Yusri kepada Astro Arena.

Untuk rekod, Perak hanya merekodkan dua kemenangan, tiga seri dan tujuh kekalahan dalam Liga Super musim ini. Perlawanan pertama Yusri bersama Perak adalah perlawanan liga menentang Terengganu FC pada 3 Jun ini.

Leave a Reply